Berbincang soal keadilan Allah, mungkin di bawah ini boleh digunakan sebagai kit kombat untuk menjawab kekeliruan yang ada…di petik daripada Utusan Online tulisan MOHD. FARID RAVI ABDULLAH
SOALAN 1
Semasa di pasar malam, saya singgah di gerai
cakera padat (CD) & kaset-kaset agama. Pemilik gerai itu memasang
CD ceramah dan penceramahnya bukan orang Islam.
Dalam ceramah itu dia kata, kalau Allah ini adil, Allah akan jadikan
semua manusia menganut Islam barulah dapat menilai setiap individu itu.
Dia mempertikaikan kenapa Allah jadikan manusia ini pelbagai kaum dan
agama. Bagaimana hendak menangkis dakwaan begini?
JAWAPAN:
Dalam bercakap juga dituntut berlaku adil. Apa yang jelas dalam hal
ini, orang yang berceramah itu tidak adil dalam kata-katanya.
Persoalan sebegini pernah ditimbulkan oleh golongan muktazilah dan
persoalan sebegini juga menjadi pertikaian golongan zanadiqah.
Persoalan-persoalan sebegini timbul kerana gagalnya manusia mengenal
Allah sebagai Tuhan yang menjadikan dan mentadbir manusia.
Allah s.w.t. tetap adil biarpun ada di antara manusia yang kafir dan ada yang beriman kepada Allah.
Di antara keadilan Allah, adanya orang beriman dan orang yang kafir.
Allah s.w.t. yang menjadikan manusia, maka di antara keadilan Allah
ialah kita dijadikan sebagai manusia, bayangkan sahaja kalau kita
dijadikan sebagai binatang. Bukankah menjadi manusia sudah hebat
berbanding dengan makhluk yang lain?
Kekurangan dan kelemahan yang dimiliki oleh manusia bukan alasan
untuk mempertikai keadilan Allah. Kalau begitu kucing, ayam, kambing,
lembu dan semua binatang akan mempertikaikan keadilan Allah dengan
persoalan kenapa mereka dijadikan binatang. Adakah Allah tidak adil
kerana menjadikan mereka binatang?
Kita harus bersyukur kerana kita menyandang status sebaik-baik
makhluk. Dan jika gagal berperanan sebagai manusia yang tinggi
darjatnya maka kita bakal dihina lebih rendah daripada binatang yang
berkaki empat.
Di antara kesempurnaan manusia ialah sempurnanya akal manusia
berbanding makhluk lain. Kenapa harus Allah s.w.t. sempurnakan akal
manusia dan tidak makhluk yang lain?
Jawapannya, manusia perlu berfikir secara kritis dan logik manakala
makhluk lain tidak dituntut sedemikian. Jika diselami lembaran-lembaran
al-Quran kita akan dapati Allah menempelak dengan firman-Nya:
Kebanyakan mereka tidak berakal”, adakah kamu tidak memikirkan, wahai
orang yang mempunyai akal.
Ini bermaksud al-Quran bertanyakan di manakah peranan akal yang
waras kenapa tidak digunakan untuk berfikir. Melalui berfikir inilah
manusia akan dapat lihat perbezaan antara keimanan (beriman kepada
Allah ) dan kekal dalam kekufuran.
Bagi Allah, jalan yang membawa kebahagiaan hidup di dunia dan
akhirat sudah dijelaskan di dalam al-Quran, oleh Rasulullah s.a.w. dan
kesinambungannya diteruskan oleh para ulama.
Kesimpulannya, manusia mesti berfikir mencari Pencipta yang
sebenarnya dan Tuhan yang sebenarnya untuk mengabdikan diri kepadanya.
Berapa ramai yang dilahirkan sebagai kafir tetapi tinggal dia
kembali kepada Allah sebagai seorang Muslim. Ramai juga yang ketika
lahirnya sebagai seorang Muslim dan ketika dia meninggalkan dunia ini
sebagai seorang kafir.
Orang yang masuk syurga kerana hidayah dan usahanya mencari
kebenaran, yang masuk neraka walaupun pada asalnya beriman kerana atas
kehendaknya sendiri.
Adilnya Allah tidak memaksa sesiapapun untuk menganut agama Islam.
Namun Allah telah menjelaskan tiada agama yang diterima di sisi-Nya
melainkan agama Islam.
Akhirnya, bagi saya hidayah Allah dapat dilihat oleh semua penduduk
bumi ini tetapi disebabkan bongkak dan sombongnya manusia tidak mahu
memperakui kebenaran agama Islam. Allah s.w.t tetap adil yang tidak
adalah manusia.